Sabtu, 21 Mei 2011

Delima Guru GSTT...

   Idea ini tiba-tiba tercetus di kala petang-petang begini. Mungkin rasa bosan duduk di rumah menyebabkan timbul idea untuk mencoret sedikit lembaran di dalam blog ini meskipun sudah lama tidak dikemaskini. Bermula tahun 2004 sehingga 2010 saya menjawat jawatan GSTT di SMKBS, banyak pengalaman telah ditempuh. Sepanjang tempoh itu, sempat juga menghabiskan pelajaran di UTM demi segulung ijazah. Sanggup terjun ke dalam bidang perguruan demi minat baru ini mendidik dan mendewasakan para pelajar bagi menghadapi gelora kehidupan yang semakin mencabar. Ketika itu jugalah pernah terlintas di fikiran ini, apakah mungkin guru-guru yang berstatus kontrak seperti saya ini akan diserap menjadi guru tetap di sekolah-sekolah di seluruh Negara? Apakah peranan sebenar seorang guru GSTT? Mungkin sebagai penyelamat bagi menampung kekurangan tenaga pengajar bagi sekolah-sekolah tertentu. Menjadi penyelamat di kala ada kekosongan jawatan tersebut. Tetapi menjadi mangsa pula apabila khidmatnya sudah tidak lagi diperlukan. Pada ketika itu, berapa nilai seorang guru GSTT? Di ambil ketika terdesak, dibuang ketika senang. Sudah cukupkah kuota guru-guru di Malaysia ini? Kalau cukup masakan kerajaan melantik hampir 13000 orang guru GSTT pada tahun 2010 bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di sekolah-sekolah seluruh Negara.


   Kalau setakat guru-guru GSTT yang baru dilantik setahun masih tidak mengapa, tetapi bagaimana pula nasib bagi mereka yang telah berkhidmat lebih dari 3 tahun, 5 tahun? Tidak bolehkah mereka ini diserap terus ke jawatan tetap khususnya bagi mereka yang berkhidmat di sekolah yang sama hampir 3, 4 atau 5 tahun? Mereka ini sudah tentu punya pengalaman mengajar yang lebih baik daripada guru yang baru ditempatkan di sekolah-sekolah. Cuma yang mereka tiada ialah ilmu pedagogi pendidikan yang lebih spesifik untuk mereka lebih memahami dan menghayati tugas seorang guru. Itu sahaja beza antara guru GSTT dengan guru GSST. Pengalaman dan ilmu keguruan yang menjadi pemisah antara keduanya. Sememangnya diakui bahawa terdapat pertembungan cabang-cabang yang melahirkan ramai tenaga pendidik bagi memenuhi keperluan pendidikan Negara seperti GSST, KPLI, J-QAF dan KPLD. Sudah semestinya akan berlaku lambakan guru di seluruh Negara sedangkan bilangan sekolah yang ada tidaklah mampu untuk menempatkan kesemua guru baru ini. Bagi saya, isu lambakan guru sebenarnya tidak perlu wujud sekiranya kerajaan benar-benar memahami peranan, tanggungjawab dan bebanan yang terpaksa dipikul oleh seorang guru di sekolah. Contoh paling mudah, dalam suatu kelas terdapat seramai 40 orang pelajar dengan pelbagai ragam masing-masing. Sukar rasanya bagi seorang guru untuk memberikan perhatian sepenuhnya bagi 40 orang pelajar terbabit. Alangkah baiknya jika 40 orang pelajar itu dibahagikan kepada 2 menjadi 20 orang bagi satu kelas. Tentu lebih ideal bagi guru-guru tersebut untuk memberikan perhatian mereka kepada sejumlah bilangan pelajar yang kecil dalam sebuah kelas. Kelas yang ideal adalah antara 20-25 orang pelajar sahaja. Jumlah ini akan memudahkan guru memberikan tumpuannya pada setiap pelajar baik dari segi kawalan disiplin kelas mahupun strategi mengajar yang lebih berkesan. Maka untuk itu, sudah pastinya bilangan guru di sekolah-sekolah seluruh Malaysia masih tidak mencukupi. Justeru pada saya, tidak akan timbul soal lambakan guru, malah guru GSTT juga turut berpeluang diserap ke jawatan tetap di sekolah di mana mereka berkhidmat. Usah pandang soal opsyen kerana itu akan menyulitkan keadaan sebenarnya.

   Bagi saya, soal opsyen tidak perlu sebenarnya kerana setiap guru yang terlatih sepatutnya telah bersedia untuk mengajar pelbagai subjek. Apa yang dipelajari di Universiti atau Maktab Perguruan itu sebenarnya ialah teknik bagaimana menyampaikan ilmu kepada pelajar. Bila tiba di sekolah, kemahiran itu digunakan untuk menjelaskan semula kepada pelajar tentang apa yang telahpun tertulis di dalam buku teks. Cuma jika ada opsyen itu sebenarnya merupakan bonus buat guru berkenaan kerana dapat mengajar dalam bidang ilmunya sendiri. Namun, sekiranya kerajaan serius untuk membantu mendapatkan penempatan bagi guru-guru baru ini, maka saya sarankan agar kerajaan khususnya pihak KPM tidak terlalu mementingkan opsyen kerana guru sememangnya bersedia untuk mengajar pelbagai subjek di sekolah. Jika ini diambil kira, maka tiada masalah sebenarnya untuk penempatan guru-guru baru malah nasib guru GSTT juga turut terbela. Masalahnya sekarang ialah opsyen, kalau dah penuh, maka guru-guru yang baru menamatkan pengajian terpaksa menunggu lebih lama untuk peluang penempatan. Tak usah lah tumpu sangat pada opsyen guru tersebut kerana belum pasti pun guru yang opsyen itu dapat mengajar opsyennya di sekolah. Ada sesetengah daripada mereka yang terpaksa juga mengajar subjek lain disebabkan kekurangan guru untuk mengajar subjek tertentu seperti Pendidikan Sivik, ICTL dan sebagainya. Jadi dalam hal ini, opsyen guru sudah tidak lagi menjadi keutamaan. Yang paling penting guru tersebut punya pengalaman, kemahiran, disiplin dan komited untuk mengajar anak muridnya bagi apa jua subjek yang perlu. Bukankah setiap guru telah disaran untuk sentiasa meningkatkan dan menambahkan pengetahuan mereka dalam ilmu globalisasi masa kini yang semakin berkembang.

   Walaupun ada laungan yang mengatakan nasib guru-guru GSTT akan terbela di mana mereka akan diserapkan ke sekolah-sekolah, namun nasihat saya buat teman-teman GSTT, usahlah terlalu berharap perkara itu menjadi kenyataan kerana sehingga kini pun KPM belum pasti bagaimanakah caranya untuk menyerap guru GSTT ini ke sekolah-sekolah. Apa yang dikhabarkan di dada-dada media lebih kepada usaha meredakan keresahan lebih 13000 guru GSTT di seluruh Malaysia yang masih menyimpan hasrat untuk diserapkan ke jawatan tetap di sekolah. Impian mungkin terlaksana tapi mungkin juga bakal jadi kenangan sahaja jika pihak KPM tidak memandang serius soal ini. Kerajaan sememangnya ada duit, itu lebih baik digunakan untuk keperluan pendidikan daripada membina bangunan-bangunan yang membazirkan duit rakyat sahaja. Fikir secara kolektif permasalahan ini, saya yakin pasti ada cara untuk membantu guru-guru GSTT ini. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

My Followers